Monday, December 22, 2008

Mara

Perjalanan ini mesti terus
walau harus merempuh tempur;
harus mara
walau perlu mengharung luka;
harus tiba ke destinasi
dengan jaya
dan bermaruah!

Tuesday, December 16, 2008

Pelepas Jerih

Tuhan,
izinkan dia menangis
sebentar cuma;
buat pelepas jerih
agar dia dapat ketawa lagi
esok hari.

Saturday, December 13, 2008

Korban dan Pengorbanan


Hari Raya Korban baru sahaja berlalu. Ramai yang telah berkorban, namun ada juga yang telah terkorban. Ada yang kehilangan nyawa. Tidak kurang juga, ada yang kehilangan mata pencarian akibat pelbagai sebab dan alasan! Sekali fikir, semua itu dugaan daripada Yang Maha Kuasa. Dua kali fikir, benarkah? Yang baik itu datangnya daripada Dia, tetapi yang buruk itu bukankah berpunca daripada kelemahan manusia sendiri!

Banyak kisah korban yang berpunca daripada sikap manusia sendiri menjelang Hari Raya Korban musim ini. Tragedi tanah runtuh yang berulang di Bukit Antarabangsa menyaksikan korban nyawa yang sia-sia. Korban jiwa di jalan raya hanya kerana seekor lembu juga merupakan kisah korban yang sia-sia. Benar, pabila ajal memanggil sesaat pun tidak dapat ditangguh! Namun, manusia harus sentiasa berusaha mengambil pelajaran dan pengajaran atas setiap peristiwa yang berlaku, bukan?

Buat sahabat yang terpaksa terkorban demi prinsip dan kebenaran usah gusar. Rezeki ada di mana-mana. Benih yang baik jatuh ke laut menjadi pulau, tercampak di darat menjadi subur menghijau.

Selamat Hari Raya Korban