Wednesday, July 1, 2009

Kata Hati

Awal pagi
kala hujan turun
kata hati seorang penoreh
"Bilakah hujan akan teduh?"

Tengah hari
kala panas membahang
Kata hati seorang buruh
"Bilakah hujan akan turun?"

Hujan turun
Hujan teduh
Hati pun terus berkata-kata
Tanpa henti
Tanpa teduh.

Monday, June 22, 2009

Selamat Datang Rejab

Selamat datang, Rejab
Ku tunggu hadirmu
Dalam debar
Tiba Sya'ban
dan Ramadan
Dalam rapuh usia
Yang sampai bila bertahan?

Sunday, June 21, 2009

Aku dan Danau

Aku dan danau
Kami bersatu
Dalam hening senja
Berkongsi resah
Laku ponggah
Anak watan

Tasik Embayu
21 Jun 2009

Kalam Takdir

Kalam takdir yang telah tersurat
Mungkinkah dapat kita hindar?

Al-fatihah buat teman editor DBP, Mat Lela yang telah kembali ke rahmatullah minggu lalu.

Friday, June 19, 2009

Ku ingin Dipeluk Tuhan

Tuhan
ku mahu Kau datang
dalam desah denyut nadi
mengusapi gundah jiwa
biar nyaman
biar damai dipeluk-Mu.

Tepian Nan Dou Ya
2 Jun 2009

Saudara di Tanah Sejauh Mata

Saudara-saudaraku
dalam kecelaruan nada
intonasi
yang tidak dapat kutanggapi maknanya
aku tahu
kita mengadap kiblat yang sama
menyembah Tuhan yang satu.

Ujung Mimbar
Neuji Mosque, Beijing
2 Julai 2009

Tepian Tembok

Di tepian tembok ini
Ku lihat ramai yang menyambut
kunjungan kami
memberi ucap selamat
tanda tiba di Tanah Sejauh Mata.

Sesayup pandang
Ada saki-baki keringat yang tertumpah
Ada ceceran cinta dan derita yang tertinggal
pada setiap anak tangga
yang mereka tarah
untuk kesetiaan yang sengsara.

1 Julai 2009
Tembok Besar China
Tanah Sejauh Mata