Wednesday, October 22, 2008

Biografi Talib Samat di Pasaran


Cepat! Kenali Dr. Talib Samat yang unik dalam dunianya yang tersendiri menerusi biografi panjang ini. Sungguh menarik.

Biografi ini telah didiskusikan dengan panjang lebar dalam majlis Diskusi Tiga Buah Buku di Perpustakaan Tunku Bainun, UPSI pada 20 Oktober (Ahad) lalu.

Hidup Sasterawan Siber!


Tahniah semua sasterwan siber yang menyemarakkan perkembangan sastera mutakhir tanah air. Maksimumkan penggunaan teknologi komunikasi dan maklumat untuk menyebarkan pemikiran yang benar, menegur mana-mana yang pincang, membaiki mana-mana yang kurang, meluruskan mana-mana yang bengkok dengan cara yang penuh berhikmah!
Gambar: Sdr. S.M Zakir dalam Seminar Sastera Siber 2 yang berlangsung di Auditorium UPSI pada 21 Oktober 2009.

Saturday, October 18, 2008

Rehat Sekejap, Segarkan Minda!


Kalau kebetulan lalu, singgahlah sekejap. Damai! Cantik! Selesa sangat. Makanannya pun sedap. Betul, harganya pun berpatutan. RM89.00 untuk satu malam. "Nineteen81, Rumah Rehat Tapah". Namun, lebih cantik jika namanya "1981, Rumah Rehat Tapah", bukan?
*Mengenang semangat "Bahasa Jiwa Bangsa"

Masa Depan Sastera Melayu?


Masa Depan Sastera Melayu?
Entahlah, tak pernah fikir pun!
Masa depan kita juga, kena fikir. Realiti cukup menggusarkan! Banyak sekolah sudah tutup kedai. Maklumlah, subjek elektif! Bahkan tak ada masa depan juga. Budak-budak pun malas membaca.
Habis, kita nak ke mana? Kita nak jadi apa?
Macam-macam. Guru Pendidikan Jasmani. Mungkin guru Pendidikan Moral! Haa, yang paling sesuai guru Bahasa Melayu! Ah, kalau dah terdesak, ajar Sains pun boleh juga.
Masa depan sastera Melayu ...
Dah, dah! Tak perlu fikir apa-apa. Kita belajar cuma.
Ya, ya! Kita orang sastera. Kita boleh jadi apa-apa saja.

Friday, October 17, 2008

Sasterawan Negara di UPSI

Kelelahan dalam ria. Kenang-kenangan bersama-sama anak-anak daripada BST 2063 (Puisi Melayu) setelah usai menyiapkan dewan untuk menyambut tetamu penting di UPSI esok. Sasterawan Negara, Prof. Muhammad Haji Salleh, Dato' Baharuddin Zainal, dan Prof. Rahman Shaari sudi berkampung di ujung tanjung ini untuk Forum Sastera Sempena Bulan Bahasa dan Sastera Negara yang akan dipengerusikan oleh Sdr. A. Halim Ali, kakitangan akademik UPSI yang juga merupakan seorang penyair ternama.
Jutaan terima kasih untuk semua yang telah memberikan sokongan dan dokongan ... untuk teman-teman di Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara khususnya, teman di Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan yang tidak pernah lokek idea, juga buat Dekan Fakulti Bahasa, Ketua Jabatan Kesusasteraan Melayu tentunya, tidak lupa seluruh kerabat staf sokongan di Pejabat Am Fakulti Bahasa yang sentiasa memudahkan urusan dalam banyak perkara, dan dedikasi kasih yang teragung, pastinya buat Yang Maha Kuasa kerana dengan izin-Nya sahaja segala-gala cita-cita terlaksana. Terimalah cinta kasih nan melaut dari hati yang tulus ikhlas buat semua.

Sunday, October 12, 2008

Surat untuk yang Bersuara

Wahai tuan yang bersuara,
Benarlah tuan orang yang bijaksana. Tuan bersuara dengan kebenaran. Tuan berhujah dengan kalam ilmu dan akal, bukannya bersandarkan tempurung kepala lutut. Tuan telah menyuarakan yang hak di saat semua orang telah membisu kerana tidak mahu dianggap penderhaka! Sebaliknya tuan yang lebih rela bergelar penderhaka.

Namun, siapakah sebenar-benar penderhaka? Tuan atau mereka yang sanggup bersekongkol mengkhianat bangsa sendiri? Merekalah penderhaka yang sebenar! Mereka telah memalitkan arang pada wajah pertiwi. Mencemar maruah jelata dengan memuliakan pencemar budaya bangsa! Seandainya waadat antara Demang Lebar Daun dan Sang Sapurba masih berbisa, mereka pasti akan menerima tulahnya! Saat kehancuran pasti akan tiba. Dan pada masa itu semuanya akan binasa.

Wahai tuan yang bersuara,
Tuan akan terus bersuara. Hamba tahu, walaupun tanpa dokongan dan sokongan sesiapa, kalam tuan pasti akan terus bergema. Tuan akan senantiasa melantunkan suara kebenaran di setiap penjuru tanah ini tanpa jemu-jemu. Tuan akan terus menyuarakan penentangan terhadap pengkhianatan dan kemungkaran, bahkan tuan akan sentiasa melaungkan pembelaan untuk mereka yang tertindas kerana hamba tahu tuanlah sebenar-benar pejuang! Tuanlah pejuang yang kami nanti-nantikan!

Saturday, October 11, 2008

Anak Kecil Main Pasir

Bawah rimbunan daun rambutan, di laman teratak buruk neneknya, anak kecil ini leka bermain pasir, tak jemu-jemu. Biar tegahan ibunya melengking nyaring dari jendela, dia sekadar menoleh dan tersengih, kemudian kembali mengotori jari-jemari mungilnya dengan pasir itu penuh ria. Tidak peduli! Kotoran itu sedikit pun tidak jijik di matanya. Bahkan dia bahagia - mesra dan akrab mencumbui alam yang dihuninya!
* Gambar: Amin Mukhsin bin Mohd. Syauqi

Thursday, October 9, 2008

Raja yang Tak Ada Takhta dan Permaisuri

Hmm ... sayu benar hati saya mendengar ungkapan ini. Manifestasi kekecewaankah? Putus asa! Atau penyerahan kudus selepas berusaha! Saya tertanya-tanya.

Karya Terbaharu

Syukur, setelah lama 'membeku' kerana keterbatasan waktu dan kesibukan menyempurnakan tugas hakiki, akhirnya saya kembali dengan novel kedua. Terima kasih buat Kak Anis (Dr. Amida@Hamidah Abdul Hamid) yang tidak pernah jemu memberikan kata-kata perangsang, dorongan dan galakan; juga buat teman-teman editor dan karyawan DBP yang lain, khususnya di DBP Wilayah Selatan dan Bahagian Majalah tentunya; tidak lupa kerabat kerja seniman di Dawama Sdn. Bhd. atas ingatan dan ukhuwah yang berkekalan. Tidak sekapal tidak bermakna kita tidak sehaluan lagi, bukan? Oh, paling penting saya perlu menyebutkan nama Encik Rozlan Mohd. Noor dari Tintarona Publications juga! Tanpa beliau, manuskrip ini pasti hanya tinggal manuskrip sahaja!

Selamat Jalan

Dari Anjung Tinjau ini, saya menghantar sayu kepergian sahabat ke Tanah Eropah dalam suatu siri kembara Ilmu yang panjang, sambil berharap dan berdoa: moga saat-saat seperti ini juga akan segera tiba untuk saya nanti! Amin.
*Dedikasi selamat jalan dan tahniah buat Rashidah Mamat yang melanjutkan pengajiannya ke peringkat Doktor Falsafah di U.K.

Monday, October 6, 2008

Nekad

Api ini
tidak pernah akan padam
biarpun titisan dari langit tak henti mencurah
tidak pernah akan berhenti menyala,
marak dan membara
biapun dalam taufan menggila.

Sunday, October 5, 2008

Akrab











Biar 100 tahun bercinta
dan berkasih-kasihan
dan hingga kini beranak-pinak
bercucu-cicit
mereka berpisah juga.

Rumpun kasih mereka
disesah nona manis seberang
atas nama ketentuan.

Saturday, October 4, 2008

Rindu Kerikil

Rindu kerikil akan temannya
yang sudah pegun di dada jalan
juga pada tembok sepanjang laluan
Biarpun melambai dan melaung
mereka tetap membatu
buta dan tuli
tak dapat dengar dan lihat
bahkan tidak peduli
tidak mengenalinya lagi!

Friday, October 3, 2008

Rumpun Serai di Belakang Rumah Kami

Ini serumpun serai yang rimbun di belakang rumah kami. Kata emak, keluarga kami juga harus seperti serumpun serai yang rimbun itu. Kami harus bersatu, harus saling percaya dan berkasih-kasihan sehingga ke akhirnya biar apa-apa pun yang akan terjadi - sama ada harus berpisah atau terpisah. Leluhur akarnya harus tetap kami pelihara zaman-berzaman.

Menunggu Layu



Awas, banyak yang menunggu ruang untuk menghilai!