Wednesday, April 2, 2008

Assalamualaikum Cikgu!

Tersentuh hati saya dengan ucapan tersebut. Rata-rata, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Khir Johari ini tahu menghormati guru. Mereka tetap menyapa dan memberi salam, tidak kira sama ada guru yang lama atau guru baharu.

Dihimbau nostalgia zaman persekolahan, saya senang kembali ke sini lagi; kali ini sebagai guru, walaupun hanya untuk 12 minggu. Hari ini hari kedua saya bertugas, tetapi merupakan hari pertama saya masuk kelas untuk mengajar - subjek Kesusasteraan Melayu, tentunya!

Kelas yang diberi nama Tingkatan Empat Satria ini sungguh unik. Barangkali, sesuai dengan namanya, kelas yang mempunyai sejumlah 28 orang pelajar ini sebenarnya merupakan kelas beraliran sukan. Walaupun begitu, mereka mengambil Kesusasteraan Melayu!

Pasti, cabarannya hebat kerana tidak semua yang sepenuh hati berminat terhadap subjek ini! Namun, saya janji. Selepas ini mereka akan jatuh cinta akan Kesusasteraan Melayu dan tidak mungkin dapat berpisah dengannya lagi!