Tiba di kampus UPSI yang comel pagi ini.
Dari Sungai Petani, saya menaiki bas untuk kembali ke Kuala Lumpur 8 Mac lalu sebelum ke Tanjung Malim dari Kuala Lumpur pagi ini. Sepanjang perjalanan malam itu, saya gagal melelapkan mata. Sebentar-sebentar telefon bimbit berbunyi. Banyak sms yang masuk mengirim khabar tentang keputusan pilihanraya. Ada antaranya daripada kenalan editor dari DBP. Ada juga daripada saudara-mara terdekat.
Terus terang, saya tidak endah sangat akan keputusannya. Seperti musim-musim yang lepas, atas desakan ibu saya akan kembali ke kampung untuk mengundi. Rugi jika tidak mengundi, kata ibu. Saya sengih setiap kali ibu berkata begitu. Saya tidak pernah ambil berat akannya. Namun, saya tetap pulang, sebagai menghormati permintaan ibu, turut keluar membuang undi bersama-samanya. Malah, kepulangan saya sebenarnya lebih bertujuan bertemu saudara-saudara yang lain di ujung desa. Kami adik-beradik masih mengundi di kampung walaupun kebanyakannya bertebar di merata-rata tempat di Tanah Semenanjung ini.
Pagi 8 Mac itu sama seperti hari-hari biasa juga. Cuaca cemerlang sekali. Cuma pada sebelah petang 7 Mac dan malamnya hujan turun dengan lebat di desa kami. Kata ibu hujan rahmat barangkali. Akan ada perubahan yang besar di daerah kami, kata ibu. Saya sengih lagi. Namun, saya dimaklumkan bahawa solat hajat dan bacaan yasin tidak putus-putus diadakan di daerah kami sepanjang tempoh kempen pilihanraya kali ini. Saya tahu untuk apa semua itu diadakan.
Saya tidak mahu memberikan sebarang komen tentang itu. Saya tahu ibu memang obses dengan parti politik pilihannya. Pangkah apa, ibu bertanya. Biarlah rahsia, kata saya! Ibu mencebik. Saya hanya tersenyum. Saya tahu ibu panas hati. Tapi biarlah. Saya tidak suka berdebat dengan ibu dalam hal-hal politik. Namun, bagi seisiapa yang kenal saya, dia tahu saya dari aliran mana. Namun biarlah hal ini tetap menjadi rahsia peribadi saya. Haha. Berbalik kepada pendirian saya tentang amalan mengundi ini. Sungguh, saya mengundi atas desakan ibu. Saya tidak pernah terfikir akan kepentingannya, sehinggalah pada malam itu. Malam yang memberi khabar dengan keputusan di Pulau Pinang, Perak, Selangor, dan daerah saya sendiri!
Sukar digambarkan perasaannya bagaimana? Yang pasti saya sungguh-sungguh terkejut. Dalam keadaan tersebut, muncul suatu perasaan yang sukar diluahkan. Saya benar-benar takut. Pada masa itu saya sebenarnya sangat sedih; sedih kerana jurang perpecahan saudara sebangsa saya semakin lebar dan membesar. Sejenak, saya teringat lagu "Anak Kecil Main Api" lewat kem Biro Tatanegara yang pernah saya ikuti semasa masih anak-anak sekolah pada tahun 1996. Teringat saya akan semua jurulatihnya - Encik Azman, Pak Noh, semuanya! Aduhai, barulah saya mengerti kebimbangan mereka dahulu. Fahamlah saya kini, mengapa ibu beria-ia meminta saya pulang ke kampung untuk pilihanraya kali ini. Dalam hati saya hanya berdoa agar bumi bertuah ini akan terus aman makmur dan diberkahi Allah serta dijauhkan daripada segala bencana.
Pagi ini, saya masih tertanya-tanya. Dari tanah subur di Tanjung Malim ini, siapakah yang akan menerajui kepimpinannya di kota bertuah ini?