Thursday, May 15, 2008

Gurindam Orang Beriman


Apabila iman tiada di dada,
Itulah jalan masuk neraka.

Apabila takwa utuh di jiwa,
Di akhirat kelak beroleh bahagia.

Apabila amanah digenggam utuh,
Bertambah iman berkurang musuh.

Apabila sabar tempuh dugaan,
Beroleh syafaat kasihnya Tuhan.

Apabila sabar tempuh dugaan,
Beroleh syafaat kasihnya Tuhan.

Apabila masa tidak dipelihara,
Sia-sia hidup tidak bermakna.

Apabila tidak menjaga lidah,
Lagikan di dunia beroleh padah.

Apabila syukur akan segala,
Rezeki secupak jadi berganda.

Apabila tidak melentur nafsu,
Badan menanggung lelah dan lesu.

Apabila aurat selalu dijaga,
Kehormatan kita akan terpelihara.

Jika Quran dan Sunnah jadi pegangan,
Ke mana pergi beroleh ketenangan.

Hasrina Baharum
SMK Khir Johari, Tanjong Malim

Wednesday, May 14, 2008

Selamat Hari Guru

Saya nanti-nantikan tarikh keramat itu, lusa. Teruja. Apa rasanya, ya?

Wednesday, May 7, 2008

Pantun Hari Guru

Dedikasi untuk semua guru
(Tersiar dalam Pelita Bahasa, Mei 2008)

Tujuh belas tahun rindu tersemat,
Tanjung Aru tempat berjumpa;
Lima belas Mei tarikh keramat,
Jasa guru janganlah dilupa.

Anak kancil pergi berguru
Tidak terbiasa kerja yang sia;
Dari kecil diasuh guru,
Agar dewasa menjadi manusia.

Hendak berburu ke luar kota,
Seluas alam bumi terentang;
Tanpa guru siapalah kita.
Ibarat malam tanpa bintang.

Jalan ke barat berpilin-pilin,
Cuaca redup menawar duka;
Guru ibarat cahaya lilin,
Menyuluh hidup tiap ketika.

Angin menderu dengan sepoinya,
Di anak tangga duduk berperikan;
Kasih guru akan muridya,
Masa dan tenaga rela korbankan.

Meski Utarid kabur pandangnya,
Hanya percaya kuasa Tuhan;
Kasih murid akan gurunya,
Gapai jaya di hari depan.

Putik baru mekar di laman,
Kembang kudup kumbang terpikat;
Hargai guru sepanjang zaman,
Agar hidup beroleh berkat.

Istana kota sebelas langkat,
Tempat baharu Nakhoda Pekan;
Sama kata sama sepakat,
Hari guru marilah raikan.

Hasrina Baharum
Tanjong Malim

Atas Nama Kasih

PROLOG

“Marlini mengamuk, Sara. Dia suruh saya buat pilihan. Saya tak tahu nak buat apa sekarang.” Suara itu benar-benar berbeza daripada yang pernah saya dengar sebelum ini. Lain sungguh. Daripada seorang yang ceria, tegas, dan penuh keyakinan, dia seperti hilang fokus, penuh kebimbangan, dan panik – bukan seperti dia yang pernah saya kenali sebelumnya. Saya sudah dapat menelah perkara yang terjadi.

“Buatlah apa yang patut dibuat, Isma. Bukankah awak awak dah bersedia untuk menghadapi semua ini?”

Saya pulangkan paku buah keras kepadanya. Dari dahulu lagi, saya sudah menjangkakan hal ini akan terjadi, tetapi dia begitu tegas dan meyakinkan saya – segala-galanya akan dapat diatasi. Isteri mana yang boleh berdiam diri apabila mengetahui suaminya ada orang lain selain dirinya dalam hidup?

“Saya tahu … tapi sebelum ini dia baik-baik sahaja, tak sangka pula sampai begini jadinya. Dia sudah kemas semua pakaiannya dan nak keluar dari rumah. Tolonglah, Sara, saya betul-betul tak tahu apa yang harus dilakukan sekarang,” sayu suara itu menyentuh gegendang telinga saya.
Lakapan telefon bimbit pada telinga kiri saya alihkan ke kanan. Sebenarnya, saya juga gementar. Kalaulah dia dapat melihat, betapa menggigilnya tubuh badan saya! Perkara yang paling saya takuti selama ini sudah pun terjadi.

Akan runtuhkah sebuah masjid yang bertahun-tahun terbina disebabkan saya? Apakah yang boleh dilakukan lagi? Gendang sudah dipalu, gerak tarinya harus saya hayun juga. Tiba di tahap ini, saya sudah tidak boleh berpatah balik. Saya harus menghadapinya.

“Cubalah bertenang dahulu. Apa yang dah jadi dengannya?”
“Dia tiba-tiba mengamuk! Dia tanya semuanya tentang kita – bila kita mula kenal dan bagaimana. Saya ulang cerita yang sama seperti saya ceritakan kepadanya awal-awal dahulu, tetapi dia seperti tidak berpuas hati.”

“Habis, kalau sudah begitu reaksinya, terpaksalah awak buat pilihan,” balas saya sinis, barangkali mengejek.

Beginikah akhirnya letak duduk hubungan kami? Lima tahun mengharungi hidup yang penuh ketidakpastian – putus kasih dan kemudian bersambung kembali adakah ini masanya untuk saya keluar selama-lamanya daripada dunia kelam serba menyiksakan itu? Perkara yang dibimbangi ibu selama ini menjadi nyata.

“Tapi bagaimana?”
“Tanyalah hati awak, siapa yang lebih penting? ”
“Sara, saya kasihkan kedua-duanya, tapi dia …”

“Kalau begitu, awak pujuklah dia. Gunalah apa-apa cara sekalipun. Sepatutnya awak sudah bersedia dan tahu perkara yang perlu dilakukan. Bukannya baru sehari dua awak merancang hal ini.” Sekali lagi saya pulangkan paku buah keras kepadanya.

“Saya sangka saya kuat, boleh atasi semua ini, Sara. Rupa-rupanya, saya terlalu lemah. Maafkan saya,” tuturnya merendah. Ada getaran di dalamnya. Talian putus.

Saya membatu di kerusi. Lemah seluruh anggota. Timbul rasa kasihan, tetapi siapakah yang paling kasihan dalam percaturan ini? Marlini, Isma, atau saya? Inilah natijah kasihan bertukar kasih. Gerun memikirkannya! Walaupun bersedia, saya masih bimbang. Apa upaya saya? Gendang sudah pun dipalu; gerak tarinya harus saya hayunkan jua. Kasihan!

*Telah saya hantar manuskrip ini untuk dinilai. Memuatkan lontaran pemikiran, kritikan, dan isu-isu semasa berhubung dunia poligami. Doakan, moga-moga berhasil diterbitkan hujung tahun ini.

Antara Mendidik dengan Mengajar

Barangkali kedua-dua perkataan ini menemukan makna yang agak selari, tetapi sangat berbeza sebenarnya. Memang berbeza. Saya mula memahaminya sekarang. Walaupun agak sukar, rasanya tugas mengajar, menurunkan ilmu kepada pelajar itu tidaklah sesukar mendidik mereka agar benar-benar menjadi "manusia". Banyak kaedah yang boleh digunakan. Dengan pelbagai ciptaan alat bantu mengajar, tugas mengajar pada hari ini lebih mudah berbanding dahulu.

Namun, untuk menjadi seorang pendidik yang benar-benar dapat melahirkan pelajar yang berjiwa "manusia" merupakan satu cabaran yang paling besar buat semua guru pada hari ini. Saya mula mengalami dan memahaminya! Bukan mudah! Ditambah pula dengan pelbagai kerenah pelajar yang nakal serta tidak berminat untuk belajar, bebanan tugas guru semakin bertambah. Tambah sukar, guru turut dipersalahkan apabila timbul masalah sosial yang melibatkan pelajar. Bagaimana itu?

Kesempatan bersama-sama dengan kelompok guru di SMK Khir Johari ini menyedarkan saya tentang banyak perkara. Rupa-rupanya, dunia pelajar yang saya tinggalkan sekitar tahun 1980-an dan 1990-an itu sudah jauh berbeza dengan dunia pelajar yang saya hadapi hari ini. Dahulu, perasaan gerun dan hormat terhadap guru itu sangat mendalam. Siapa yang berani mengangkat muka atau bersuara ketika guru sedang mengajar? Tak ada, seingat saya! Jika dipukul atau didenda guru sekalipun, saya tidak berani mengadunya kepada emak atau ayah di rumah. Malu! Malah bimbang, silap-silap haribulan, dapat 'habuan' yang lebih 'bermakna' lagi.

Berdasarkan pemerhatian singkat dalam tempoh sebulan ini, saya menjadi gerun dengan tingkah laku pelajar kini. Banyak kepincangannya, terutama apabila melibatkan pelajar yang tidak berminat terhadap pelajaran - datang ke sekolah sekadar memenuhi masa; sekadar mengharapkan sekeping sijil - Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) dan Sijil Berhenti Sekolah - yang barangkali penting bagi mereka sebagai keperluan untuk memasuki dunia pekerjaan.

Kelompok inilah yang paling banyak menimbulkan masalah disiplin di sekolah (ponteng kelas, ponteng sekolah, bergaduh, merokok dalam kawasan sekolah, dan sebagainya). Membangkitkan perkara ini kepada teman-teman guru yang telah bertahun-tahun bergelumang dalam profesion keguruan ini, mereka hanya tersenyum. Senyuman itu bukan senyuman biasa sebenarnya. Saya tahu. Walaupun masih rebung, buluh yang ingin ingin dilenturkan itu sudah punyai arah dan kiblat masing-masing.

Bukan berputus asa, tetapi saya pasti tidak ada apa-apa yang boleh dilakukan oleh guru lagi. Setakat mana kuasa yang diberikan oleh ibu bapa kepada guru untuk 'mendidik' anak-anak mereka di sekolah? Merotan atau mendenda dalam kadar yang patut dan wajar juga sudah tidak digalakkan lagi. Yang mampu dan terdaya dilakukan oleh guru pada hari ini hanyalah nasihat - itu yang dilakukan sehari-hari. Untung jika ada yang termakan, jika tidak? Terserahlah kepada diri masing-masing untuk membawa haluan hidup. Guru tidak ada kuasa untuk melakukan sesuatu di luar daripada batasan yang telah ditentukan itu!

Selamat Hari Guru. Terima kasih cikgu-cikgu (temasuk pensyarah) yang telah mendidik saya menjadi manusia! Juga buat emak dan arwah ayah yang banyak berkorban demi kelangsungan hidup; tidak lupa untuk Yang Maha Pengasih yang telah memberikan kesempatan untuk saya terus menghuni dunia yang indah ini.