Wednesday, November 21, 2007

Sesat

Makin dicari, makin digali, makin tak jumpa. Kerdilnya diri!! Tak apa-apa, malam nanti sambung lagi. Kalau tak jumpa juga, esok akan terus gali dan cari; sampai jumpa!

Tuesday, November 20, 2007

Pilihan

Setelah puas berfikir, saya mengambil keputusan begini saja: terima kenyataan tentang kehendak hati dan hakikat rasa yang sebenar, tetapi bertindak mengikut pertimbangan iman dan logik akal. Lebih baik barangkali, mudah-mudahan Allah memberikan keberkatan di dalamnya.

Tuesday, November 13, 2007

Tauke Panggung Masuk Gelanggang

Lucu. Dahulu (semasa bertugas di DBP) sayalah tauke panggungnya, siapkan gelanggang untuk orang bertanding, bertanding pantun! Kali ini (di UPSI) tauke panggung kena masuk gelanggang dan bertanding. Bagai mimpi, antara yakin dengan tidak, saya positif saja. Sekali diberikan amanah, saya terima dengan rela.

Bagus juga, sesekali harus turun gelanggang, mengalami dan merasai sendiri mengarang pantun dalam keadaan spontan, mengikut keperluan masa yang ditetapkan. Baru betul-betul mencabar keupayaan diri. Menang kalah soal kedua. Pengalaman yang lebih penting.

Mesyuarat petang tadi menetapkan 1 Disember 2007 sebagai tarikh pertandingan. Saringan, separuh akhir dan pertandingan peringkat akhir akan diadakan pada tarikh tersebut, bertempat di Taman Budaya Negeri Perak. Lapan kumpulan akan berentap merangkul gelaran Johan. Berdebar-debar.

Destinasi Hari Ini

2.30 petang di Taman Budaya Negeri Perak - Menghadiri Mesyuarat Pertandingan Berbalas Pantun Antara Jabatan, Negeri Perak Merebut Piala Pusingan Y.B. Setiausaha Kerajaan Negeri Perak 2007.
- tauke panggung masuk gelanggang -

Monday, November 12, 2007

Minggu Peperiksaan

Minggu-minggu peperiksaan yang menggelisahkan. Siwa siswi berwajah tak keruan: antara yakin dengan ragu-ragu; antara usaha dengan pasrah, saya benar-benar mengerti riak gelisah itu; bahkan kegelisahan itu turut menulari saya. Esok dan lusa harus saya lepaskan dengan reda. Tak mengapa. Tak mengapa.

Bulan Kedua

Dengan bismillah kami mulai,
Alhamdulillah wassalatun-nabi,
Dengan takdir Ilahi Rabbi,
Sampai maksud yang dicitai.

Bulan kedua di UPSI. Sendiri-sendiri sunyi, sesekali rindu keriuhan teman-teman di tempat lama, Armin, Kak Nina, Kak Jun, Rozi, Kak Aya, Anina Janang, Nuar Kosmik, Azli Dewan Ekonomi, Sara, Kak Aya Setter, semuanya! Sesekali kepingin cendol mamak di warung, gulai tempoyak di Restoran Kancil.

Sekadar perbandingan, dua dunia yang berbeza; masing-masing punyai keunggulan tersendiri. Masih belum mula mengajar. Seperti biasa, saya tetap berselera menghadap karya-karya tradisional. Dari pantun ke syair, dari teromba ke nazam, seloka ke Peribahasa, Talibun, Mantera, juga Dikir. Makin dikenal makin tertawan.